Tuesday, 25 September 2012

Masalah ketumbuhan sistem peranakan wanita


SISTEM peranakan wanita terdiri daripada rahim, serviks, ovari serta saluran peranakan. 

Namun, ovari dan rahim merupakan dua bahagian dalam sistem tersebut yang paling selalu mengalami gangguan seperti fibroid, 'cyst' atau sista ovari dan adenomiosis.

Sakit senggugut yang melampau boleh dikatakan antara tanda seorang wanita mempunyai masalah serius pada sistem peranakan mereka.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Ampang, Dr. Suhaimi Isa berkata, ada juga kes mereka yang mempunyai sista ovari atau fibroid tidak didatangi sebarang tanda ketara.

Kebanyakan pesakit hanya menyedari berlaku sesuatu yang abnormal terhadap sistem peranakan selepas melakukan ujian kesihatan seperti pap smear.

Menurut Dr. Suhaimi, gangguan sebegitu ada yang tidak memudaratkan seperti sista ovari yang bersaiz kecil setakat tiga sentimeter sahaja dan tidak memerlukan pembedahan.

Ada juga kes gangguan pada sistem peranakan itu berada pada tahap kronik sehingga pesakit dinasihatkan membuang sebelah ovari malah rahim.

Dr. Suhaimi menasihatkan wanita yang berusia 30 tahun ke atas dan aktif melakukan hubungan seksual membuat pemeriksaan pap smear secara berkala.

Mereka yang mengesan sebarang tanda pelik seperti kitaran haid tidak teratur atau darah haid yang banyak serta senggugut yang teruk juga digalakkan segera berjumpa dengan pakar sakit puan kerana ketumbuhan sebegitu boleh dikesan melalui imbasan CT atau ultrabunyi.

Berikut informasi berkenaan masalah di dalam ovari dan rahim.

OVARI
Ketumbuhan di dalam ovari adalah masalah yang paling sering berlaku kepada kebanyakan wanita.

Setiap bulan, wanita yang sihat akan melalui kitaran menstruasi dan telur dikeluarkan daripada ovari untuk proses yang dinamakan ovulasi.

Jika anda mula berdepan dengan haid yang tidak teratur atau sakit ketika datang haid atau tanda-tanda seperti bengkak dalam abdomen, berkemungkinan anda berhadapan dengan masalah sista ovari.

Sista ovari merujuk kepada kantung cecair dalam ovari dan biasanya bersifat benigna iaitu tumor yang tidak berbahaya.

Jenis-jenis Sista Ovari

a) Sista ovari air

Ia sangat lazim berlaku dan dikaitkan dengan kelainan fungsi ovari yang normal. Saiz normalnya dua sentimeter.

Sekiranya ia semakin membesar melebihi lima sentimeter, ada kemungkinan ia akan pecah dan berdarah atau mungkin boleh membelit ovari menyebabkan kesakitan yang teruk.

Pembedahan perlu dijalankan bagi kes sista yang pecah, terbelit, berukuran lebih lima sentimeter dan kelihatan mencurigakan dalam imbasan ultrabunyi.

Menurut Dr. Suhaimi, selalunya, pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi, jika mula berasa sakit seperti senggugut yang teruk, berkemungkinan sista ovari tersebut sudah besar dan teruk malah berkemungkinan ovari perlu dibuang.

b) Endometriosis (sista ovari darah)

Juga dikenali sebagai chocolate cyst. Ia terjadi apabila darah haid melimpah keluar dari tiub falopio dan terkena ovari, tiub falopio, pundi kencing atau usus besar.

Sel dinding rahim yang bersama-sama haid tadi boleh membesar di bahagian-bahagian tersebut lalu menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan semasa datang haid.

Endometriosis adalah punca utama ketidaksuburan.

c) Sista teratoma

Adalah tumor yang tidak berbahaya tetapi ada kemungkinan menjadi kanser.

Ketumbuhan sista teratoma mempunyai pelbagai sel dalam badan seperti rambut, gigi, sel otak dan selalunya ditemui dalam tubuh badan pesakit berusia lewat 30-an.

Satu-satunya cara rawatan adalah melalui pembedahan untuk membuangnya.

Cara Rawatan

Pembedahan pada sista ovari hanya disarankan jika saiznya melebih lima sentimeter.

Terdapat dua kaedah untuk melakukan sistektomi (pembuangan sista) dan pembuangan tumor iaitu laparoskopi dan laparatomi.

Laparotomi adalah pembedahan biasa manakala laparoskopi dilakukan dengan membuat tiga lubang kecil masing-masing satu untuk dimasukkan kamera dan dua lagi dimasukkan peralatan untuk membuang sista ovari tersebut.

Jika ovari telah rosak teruk pula, ooforektomi (pembuangan ovari) akan dijalankan iaitu di sebelah yang terkesan sahaja.

No comments:

Post a Comment