Wednesday 26 September 2012

Pembedahan Laparoscopy

Laparoscope atau “Teropong”
Pembedahan yang selalu digelar “teropong” ini dilakukan dengan membuat belahan kecil (0.5 cm) di abdomen. Tiga belahan atau “incision” dibuat dan pembedahan utama (major) boleh dilaksanakan melalui lubang-lubang ini. Belahan pertama dilakukan di pusat. Teropong atau laparoscope dimasukkan ke dalam abdomen dan kamera video diletakkan pada penghujung luar teropong ini. Gambaran dalam abdomen dilihat pada television dalam dewan pembedahan dan segala organ dapat dilihat dengan jelas kerana diperbesarkan (magnified).

Peralatan dalam abdomen
Selepas laparoscope dimasukki melalui pusat, dua atau tiga belahan kecil lagi dibuat dibahagian bawah abdomen. Segala peralatan pembedahan dan jahitan akan dibuat melalui lubang yang dibentuk di abdomen ini. Pembedahan teropong ini membenarkan pembedahan yang sungguh jitu yang tidak dapat ditandingi oleh pembedahan biasa. Kejituan pembedahan jenis ini lebih ketara semasa pembedahan untuk senggugut, ketumbuhan, cyst dan kanser. 

Sebagai perbandingan, laparotomy atau pembedahan biasa mengakibatkan 
belahan sepanjang lima hingga sebelas inci panjang. Belahan yang beasr ini mungkin menegak atau melintang dan diperlukan untuk menampung peralatan bedah yang biasa. 
Gambaran melalui laparoscope

Pembedahan sejenis ini mengakibatkan penyembuhan dan penjagaan di hospital yang lebih lama, serta kemungkinan komplikasi jangkamasa panjang.  Kelebihan pembedahan laparoscopy berbanding dengan laparotomy jelas dilihat. Kebanyakan pesakit dibenarkan balik rumah pada hari yang sama selepas pembedahan. Pesakit selalunya sembuh dalam masa beberapa hari dan dapat berfungsi saperti biasa dalam masa seminggu. Kesakitan yang dialami pun sedikit dan pesakit lebih selesa selepas pembedahan.Jikalau kelebihan pembedahan laparoscopy sangat nyata, kenapakah pembedahan ini tidak begitu berleluasa? 
Kesan Pembedahan Laparoscopy

Ini ialah kerana pembedahan laparoscopy adalah susah dan memerlukan kepakaran dan pengalaman untuk mencapai tahap yang sewajarnya. Tambahan  pada itu, peralatan yang digunakan adalah mahal dan tidak didapati di semua kebanyakan hospital. Pusat Pakar Wanita adalah hanya satu daripada beberapa pusat perubatan di negara ini di mana pembedahan ini dilakukan secara rutin. 


PERSIAPAN SEBELUM PEMBEDAHAN


a) Anda dikehendaki masuk ke wad sehari sebelum pembedahan untuk 
penelitian pra pembedahan dan perjumpaan dengn pakar bius. 

b) Pemakanan sebelum pembedahan  

    i)  Untuk satu hari sebelum pembedahan, anda hanya disyorkan memakan makanan  
          ringan saja, misalnya, sup dan sedikit roti. Susu, nasi dan lauk perlu dielakkan kerana 
          menyebabkan usus kembung dan akan merumitkan pembedahan. 

    ii) Anda perlu berpuasa pada malam sebelum pembedahan. Walaupun demikian, pada pagi 
        pembedahan,anda dibenarkan mengambil sedikit air kosong atau Teh ‘O’ 2-3 jam 
        pembedahan. 

c) Anda akan diberi ubat untuk dimakan pada hari sebelum pembedahan untuk melawaskan buang air besar. Ini mungkin menyebabkan anda cirit 

d) Pada pagi hari pembedahan dilakukan, anda perlu memasukki dua biji ubat ke dalam faraj. Ini adalah untuk membuka pintu rahim untuk menyenangkan penelitian. 

e) Anda mungkin dibenarkan balik pada hari sebelum pembedahan (selepas pukul 5 petang) tetapi anda  perlu ada di wad pada keesokan hari sebelum pukul 0730 pagi.


Tuesday 25 September 2012

Masalah ketumbuhan sistem peranakan wanita


SISTEM peranakan wanita terdiri daripada rahim, serviks, ovari serta saluran peranakan. 

Namun, ovari dan rahim merupakan dua bahagian dalam sistem tersebut yang paling selalu mengalami gangguan seperti fibroid, 'cyst' atau sista ovari dan adenomiosis.

Sakit senggugut yang melampau boleh dikatakan antara tanda seorang wanita mempunyai masalah serius pada sistem peranakan mereka.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Ampang, Dr. Suhaimi Isa berkata, ada juga kes mereka yang mempunyai sista ovari atau fibroid tidak didatangi sebarang tanda ketara.

Kebanyakan pesakit hanya menyedari berlaku sesuatu yang abnormal terhadap sistem peranakan selepas melakukan ujian kesihatan seperti pap smear.

Menurut Dr. Suhaimi, gangguan sebegitu ada yang tidak memudaratkan seperti sista ovari yang bersaiz kecil setakat tiga sentimeter sahaja dan tidak memerlukan pembedahan.

Ada juga kes gangguan pada sistem peranakan itu berada pada tahap kronik sehingga pesakit dinasihatkan membuang sebelah ovari malah rahim.

Dr. Suhaimi menasihatkan wanita yang berusia 30 tahun ke atas dan aktif melakukan hubungan seksual membuat pemeriksaan pap smear secara berkala.

Mereka yang mengesan sebarang tanda pelik seperti kitaran haid tidak teratur atau darah haid yang banyak serta senggugut yang teruk juga digalakkan segera berjumpa dengan pakar sakit puan kerana ketumbuhan sebegitu boleh dikesan melalui imbasan CT atau ultrabunyi.

Berikut informasi berkenaan masalah di dalam ovari dan rahim.

OVARI
Ketumbuhan di dalam ovari adalah masalah yang paling sering berlaku kepada kebanyakan wanita.

Setiap bulan, wanita yang sihat akan melalui kitaran menstruasi dan telur dikeluarkan daripada ovari untuk proses yang dinamakan ovulasi.

Jika anda mula berdepan dengan haid yang tidak teratur atau sakit ketika datang haid atau tanda-tanda seperti bengkak dalam abdomen, berkemungkinan anda berhadapan dengan masalah sista ovari.

Sista ovari merujuk kepada kantung cecair dalam ovari dan biasanya bersifat benigna iaitu tumor yang tidak berbahaya.

Jenis-jenis Sista Ovari

a) Sista ovari air

Ia sangat lazim berlaku dan dikaitkan dengan kelainan fungsi ovari yang normal. Saiz normalnya dua sentimeter.

Sekiranya ia semakin membesar melebihi lima sentimeter, ada kemungkinan ia akan pecah dan berdarah atau mungkin boleh membelit ovari menyebabkan kesakitan yang teruk.

Pembedahan perlu dijalankan bagi kes sista yang pecah, terbelit, berukuran lebih lima sentimeter dan kelihatan mencurigakan dalam imbasan ultrabunyi.

Menurut Dr. Suhaimi, selalunya, pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi, jika mula berasa sakit seperti senggugut yang teruk, berkemungkinan sista ovari tersebut sudah besar dan teruk malah berkemungkinan ovari perlu dibuang.

b) Endometriosis (sista ovari darah)

Juga dikenali sebagai chocolate cyst. Ia terjadi apabila darah haid melimpah keluar dari tiub falopio dan terkena ovari, tiub falopio, pundi kencing atau usus besar.

Sel dinding rahim yang bersama-sama haid tadi boleh membesar di bahagian-bahagian tersebut lalu menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan semasa datang haid.

Endometriosis adalah punca utama ketidaksuburan.

c) Sista teratoma

Adalah tumor yang tidak berbahaya tetapi ada kemungkinan menjadi kanser.

Ketumbuhan sista teratoma mempunyai pelbagai sel dalam badan seperti rambut, gigi, sel otak dan selalunya ditemui dalam tubuh badan pesakit berusia lewat 30-an.

Satu-satunya cara rawatan adalah melalui pembedahan untuk membuangnya.

Cara Rawatan

Pembedahan pada sista ovari hanya disarankan jika saiznya melebih lima sentimeter.

Terdapat dua kaedah untuk melakukan sistektomi (pembuangan sista) dan pembuangan tumor iaitu laparoskopi dan laparatomi.

Laparotomi adalah pembedahan biasa manakala laparoskopi dilakukan dengan membuat tiga lubang kecil masing-masing satu untuk dimasukkan kamera dan dua lagi dimasukkan peralatan untuk membuang sista ovari tersebut.

Jika ovari telah rosak teruk pula, ooforektomi (pembuangan ovari) akan dijalankan iaitu di sebelah yang terkesan sahaja.