Monday 13 August 2012

Apakah yang dimaksudkan dengan Sista Ovari?



Sista atau ketumbuhan dalam ovari merupakan pembendungan cecair di dalam ovari. Terdapat beberapa jenis sista ovari. Golongan wanita begitu mengambil berat terhadap sista ini disebabkab kebimbangan mereka kepada kanser ovari. Satu perkara yang perlu diingat bahawa kebanyakan sista ovari ini bukanlah ketumbuhan kanser. Walau bagaimanapun, sebahagian dari sista benigna ini memerlukan rawatan jika ia tidak hilang seperti biasanya. Hanya dalam beberapa kes yang kecil, ia bertukar menjadi kanser. Yang menggembirakan kita ialah hampir semua sista ovari ini akan hilang secara spontan tanpa memerlukan rawatan. Oleh kerana kebanyakan dari sista ovari adalah benigna (bukan kanser), kewujudan sista ovari biasanya tidaklah membimbangkan.

Tanda dan Gejala
Lazimnya, sista ovari tidak membahayakan dan tidak menimbulkan gejala. Jika berlaku juga gejala, ia termasuklah:

  • Terasa sesak atau bengkak dalam abdomen Berat badan bertambah. Sakit yang tidak menyucuk dan berlaku berterusan sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah pelvis. Kesakitan semasa melakukan seks Haid tertunda, tidak teratur atau sakit. Semakin banyak timbulnya bulu roma di muka.
  • Terasa sangat sakit yang menyucuk dalam abdomen, demam, dan/atau muntah. Kemungkinan ini disebabkan oleh sista yang berdarah kerana telah pecah atau terpintal/terpusing.

Jenis-jenis sista ovari
Sista fungsi - Jenis ini sangat lazim berlaku. Ia dikaitkan dengan kelainan dari fungsi ovari yang normal. Contohnya, ia terbentuk apabila telur cuba dikeluarkan seperti dalam proses pengovulan biasa. Ianya mungkin berlanjutan sehingga 4 atau 6 minggu. Sista ini jarang merembeskan hormon. Sista folikel dan korpus luteum - sista folikel terbentuk apabila folikel yang menghasilkan telur dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. Sista korpus luteum merupakan jisim tisu berwarna kuning yang terbentuk daripada folikel selepas proses pengovulan. Sista jenis ini timbul dan hilang setiap bulan. Ia dikaitkan dengan fungsi normal ovari. Sista yang abnormal atau sista neoplasma - Ia terjadi kesan dari pertumbuhan sel dan kebanyakannya merupakan ketumbuhan benigna. Dalam beberapa kes tertentu, ianya boleh menjadi kanser. Sista yang abnormal ini memerlukan rawatan perubatan dari doktor. Ini termasuklah:
  • Sista dermoid - yang mengandungi pelbagai jenis tisu seperti bahan-bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan.
  • Ovari polisistik - disebabkan oleh timbunan sista-sista kecil yang berganda menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan hormon. Ini akan menyebabkan berlakunya haid yang tidak teratur, timbulnya bulu-bulu roma di badan dan ketaksuburan atau kemandulan
Perkara yang perlu diingat:
Oleh kerana sista ovari biasanya tidak menunjukkan gejala, adalah penting bagi wanita yang pernah mengalami sista di masa yang lalu atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap tumor ovari melakukan pemeriksaan pelvis secara berkala. Wanita yang pernah mengalami sista ovari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatnya lagi di masa hadapan. Endometriosis mungkin menjadi lebih serius jika berlakunya sista ovari dan peluang anda untuk menjalani oforektomi (pembuangan ovari) adalah lebih tinggi. Dalam beberapa kes tertentu, jika berlakunya sista ovari yang malignan, rawatan awal biasanya memberi lebih jaminan untuk sembuh. Wanita yang mendapat sista ovari selepas putus haid lebih mudah mengalami malignansi.
Beringat untuk mendapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mengalami sebarang rasa sesak, tekanan atau kurang selesa di bahagian pelvis. Lebih cepat sista itu dikesan dan dirawat maka lebih baiklah peluang anda untuk sembuh.

Pengesanan
Anda boleh mengesan sista ovari melalui:
  • Pemeriksaan pelvis di mana doktor dapat merasa saiz ovari dan mengesan sebarang keabnormalan yang wujud. Ultrasound - alat ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan gambar atau imej organ dalaman dengan meletakkan satu alat di atas abdomen atau memasukkan alat tertentu ke dalam faraj. Laparaskopi - satu pembedahan kecil yang dilakukan untuk membolehkan doktor melihat struktur dalam abdomen anda.
  • Ujian darah bagi mengesan tumor- ujian ini akan dilakukan jika doktor mensyaki adanya malignansi.
Rawatan
Bergantung kepada:
  • Saiz dan jenis sista. Umur, sama ada anda berada dalam tahun-tahun yang subur atau telah putus haid.. Ingin mendapatkan anak Tahap kesihatan keseluruhannya.
  • Keterukan gejala yang dialami.
Sesetengah sista akan hilang begitu sahaja dalam masa satu hingga dua bulan tanpa dirawat. Jika ianya tidak sembuh, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang sista tersebut. Jika sista itu dapat dikesan lebih awal, ianya hanya mungkin memerlukan pembedahan yang kecil dan sista itu mungkin dibuang tanpa melibatkan ovari. Kadangkalanya ovari perlu dibuang dan pembedahan mungkin melibatkan pengeluaran tiub Fallopian dan juga rahim.

PENGURUSAN SENDIRI DAN LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
o    Dapatkan pemeriksaan pelvis secara berkala seperti yang disarankan oleh doktor.
o    Jika mendapat kesakitan yang ringan ambillah ubat penahan sakit.
o    Kurangkan pengambilan kafein.

No comments:

Post a Comment